“Aku dah balik! Cuti semester. Dua bulan!”  Laungnya sekuat hati. Nurhani tersenyum. Dilempar pandangan jauh ke  tengah tasik. Kepuasan terpancar di raut wajahnya.
Irzi Aizat menyaksikan gelagat Nurhani tanpa  menerpa sebarang pertanyaan pada keanehan yang berselubung dalam jiwanya  terhadap gadis yang menjadi kebanggaannya di kolej. “Aku bawa seorang  kawan dari sana. Kenalkan Irzi Aizat, kawan baik aku di kolej. Dia  pelajar tahun kedua rekaan grafik. Dia baik, Am.” Tambahnya lagi, tetap  dalam nada kuat, melaung khabar dan cerita ke tengah tasik.Irzi  Aizat semakin pelik. Hatinya mula berperang dengan pelbagai terpaan  pertanyaan yang tak berjawapan itu. Pelbagai kemungkinan yang singgah di  benak fikirannya, namun hanya satu yang menjadi keputusan andaiannya.  Apa yang di anggapnya, gadis itu pasti mengalami masalah mental. Hanya  orang gila sahaja yang akan terpekik tanpa mempedulikan orang di  sekeliling dan bercerita pada satu nama yang tak berjasad. Namun tiada  kesahihan pada andaiannya tersebut kerana selain peristiwa hari ini  Nurhani tidak pernah bertindak seperti orang gila sekadar bercerita  tentang seseorang yang bernama Izham. Pun begitu ceritanya tentang Izham  mengundang berbagai teka- teki. Bagi menjawab semua teka- teki itulah  Irzi Aizat bersetuju untuk menghabiskan cutinya bersama Hani di sini.
****
Keletihan  semalam membuatkan tidurnya nyenyak hingga matahari menjenguk alam.  Sebaik membuka mata dilihatnya jam sudah terpacak diangka sebelas pagi.  Irzi Aizat bingkas bangun. Malu mula mengusai diri, sudahlah bermalam di  rumah orang, tidur hingga matahari meninggi. Entah apa yang di anggap  keluarga Nurhani nanti. Memikirkan semua itu, pantas di bawa diri  menjenguk kamar mandi.
Selesai  bersiap, Irzi Aizat turun ke tingkat bawah dimana terdapat sebuah kedai  bunga milik ibu Nurhani. Di jangka Nurhani berada di kedai membantu  ibunya kerana diatas rumah tadi sudah tiada sesiapa sebaik dia mencelik  mata tapi pencariannya hampa. Yang ada cuma Makcik Sofia dan pambantunya  seorang wanita warga Indonesia.
“Cari  Hani ke? Awal tadi dia dah ke rumah mamanya. Dia suruh Zi pergi kalau  Zi dah bangun. Ni alamatnya kalau Zi nak pergi.” Ujar Sofia yang dapat  meneka apa yang di cari Irzi Aizat sebentar tadi.
Disambut  cebisan kertas yang tertulis alamat yang di tuju Nurhani dalam seribu  satu persoalan yang tidak berkurang sebaliknya semakin ditambah. “Mama?  Berapa orang mak yang Hani ada, makcik?”
Sofia  ketawa kecil sebaik mendengar kata-kata yang sedikitpun tak dialas  dengan bunga bahasanya. Sofia tidak berkecil hati, sudah awal lagi  Nurhani sudah memaklumi akan sikap teman yang akan di bawa pulang itu.  “Itu mak Izham, mama angkatnya. Hani kalau balik ke sini samalah seperti  balik ke rumah sana. Mama dan abahnya akan marah kalau dia tak kesana  jika pulang bercuti.” Terang Sofia cuba menguraikan kekeliruan pada Irzi  Aizat.
Mendengar  nama Izham yang berkait dengan kediaman yang dilawati Hani, dia mula  rasa tidak sabar untuk melangkah ke sana. Segera di daki anak tangga ke  atas bagi mendapatkan kunci kereta yang di tinggalkan dalam bilik lalu  bergegas turun mengambil Satria merah miliknya yang di letakkan benar  benar di hadapan kedai bunga Makcik Sofia.
*****
Rumah  batu dua tingkat tersergam di depan matanya. Pintu pagarnya tak di  tutup memudahkan Irzi Aizat memandu terus mencerobohi halaman rumah batu  itu setelah di pastikan dia berada dirumah yang beralamat seperti  tercatat dalam cebisan kertas yang di beri oleh makcik Sofia tadi.  Diketuk pintu rumah berserta salam. Tanpa perlu menunggu lama salamnya  bersahut dan pintunya di buka.
“  La.. baru di sebut dah sampai. Masuklah Zi.” Pelawa Nurhani seperti  mempelawa tetamu di rumah sendiri. Irzi Aizat dapat mengagak bagaimana  akrabnya Nurhani dengan keluarga ini.
“Inilah  Irzi Aizat yang di ceritakan tu ye? Saling tak tumpah macam Izham.”  Tutur Zaidah lembut bersama tenungan yang dalam kedalam raut wajah Irzi  Aizat sehingga rimas di buatnya. Menyedari Irzi Aizat kurang selesa  dengan tatapan sebegitu, Zaidah mematikan tumpuannya bagi mengembalikan  keselesaan tetamunya itu.
Mendengar  kaitan dia dan nama yang masih belum berjasad baginya, jiwanya semakin  memberontak ingin cepat tahu dan kenal siapa Izham dan apa hubungan dia  dan Nurhani yang sering menjadi pertanyaan tak berjawapan selama ini.  Pasti wanita lewat 30an ini dapat memberi jawapan, jika di harap Nurhani  sudah berbuih dia bertanya tapi tak juga di jelaskan segalanya. 
“Mana  Izham?” soalanya cuba memancing mangsa agar terbongkar apa yang di  rahsiakan Nurhani selama ini. Soalannya memberi tindak balas pada air  muka Zaidah. Ada kesayuan yang cuba di sembunyikan tapi tidak berjaya di  lindungi sebaiknya. Nurhani pula tetap berlagak seperti biasa seolah  pertanyaan itu tidak akan memecahkan sesuatu yang dijaga selama ini.
“Am..  kalau cuti begini jangan harap nak bangun awal. Takpe biar Hani yang  kejutkan dia.” Balasnya terus melangkah jauh kedalam rumah menuju ke  kamar Izham di tingkat atas. Kini hanya Irzi Aizat dan Zaidah di rumah  tamu. Keadaan sepi seketika.
“ Pak cik ke mana, tak nampak pun?” Irzi Aizat cuba memecah kesunyian itu agar ada komunikasi di antara dia dan mak cik Zaidah.
“Pak cik kamu, waktu macam ni di ofis la. Dia tak tahu Hani balik, kalau tidak pasti dia balik rumah.”
“Rapat betul Hani dengan keluarga makcik.”
“Hanya Hani saja harapan kami. Dialah satu- satunya tempat kami menumpang kasih seorang anak.”
“Kan makcik ada Izham, kenapa pulak Hani menjadi satu-satunya harapan dan tempat menumpang kasih?”
Sekali  lagi Zaidah di terpa dengan soalan yang terlalu menghiris perasaan.  Dengan pertanyaan itu, cukuplah memberitahu Zaidah bahawa teman baik  Nurhani masih tidak tahu apa yang berlaku sebelum ini. Pastinya dia  masih belum tahu keadaan Nurhani.
“Nampaknya Zi masih tak tahu apa-apa tentang kami di sini. Pernah Hani bercerita tentang Izham pada Zi?”
“Selalu  tapi tak jelas. Maksud saya hanya cerita tentang Izham tapi saya masih  tak tahu apa hubungan dia dan Izham dan di mana Izham.”
“Dia  pilih Zi sebagai pendampingnya adalah kerana Zi mirip Izham. Hani bukan  mudah untuk dirapati, tapi jika Zi yang dipilih memang tak jadi benda  pelik pada mak cik.”
“Boleh  tak mak cik tak payah panjangkan cerita, terus bagitau saya apa yang  berlaku sebenarnya sebab dah banyak persoalan saya tentang Hani dan  Izham takde jawapannya. Saya ke sini nak cari jawapan itu bukan nak  tambah soalan. Maaf kalau kata-kata saya menyinggung perasaan mak cik  tapi tolonglah jelaskan segalanya sekarang.” Pintasanya menampakkan lagi  sikap ketidaksabaran dan terlalu ambil mudah tanpa memikirkan perasaan  orang lain.
“Wajah  kamu mirip anak makcik tapi sikap kamu jauh berbeza dari dia. Arwah  seorang yang penyabar, penyayang dan terlalu menjaga kata-katanya agar  apa yang di cakap tidak menyakiti sesiapa.” Sindir Zaidah pada  kebiadapan Irzi Aizat. 
Sedikipun  tak diendahkan Irzi Aizat terhadap sindiran tajam itu. Dia cuma  tertarik dengan pengiktirafan arwah pada Izham. Syukurlah insan yang  menjadi api cemburunya selama ini tidak lagi menghuni bumi. Namun  hatinya mula gusar dengan tingkah Nurhani sebentar tadi dan petang  semalam..
“Hani  tak dapat terima kenyataan atas kematian Izham biarpun dia sendiri  menyaksikan bagaimana Izham menghembus nafas terakhir. Izham meninggal  akibat kemalangan jalan raya tak jauh dari kawasan tasik tu. Tentu Hani  dah bawa Zi ke sana, kan? Hani dan Izham amat rapat sejak kecil. Mereka  banyak mencipta kenangan di tepi tasik itu. Kasih antara mereka cukup  erat, lebih-lebih lagi Am. Ke mana, dan apa saja yang dilakukannya, dia  tak pernah terlupa akan Hani sehingga apa saja barang kepunyaannya  dianggap kepunyaan Hani juga. Kematian Izham banyak merubah Hani.  Perasaan dan fikirannya agak terganggu sehingga tak benarkan sesiapapun  menganggap Izham sudah tiada. Sebab tu mak cik, pak cik dan mak cik  Sofia kamu ikut saja apa rentaknya. Tengoklah tu, dia masih tak turun  dari atas, kononnya kejutkan Izham. Kami tak mahu mendesak kerana cara  itu akan lebih memburukkan keadaan. Mak cik yakin satu hari nanti dia  akan terima juga hakikat ini,” cerita Zaidah, lebar. 
Irzi  Aizat telan air liur setelah mendengar cerita sebenar. Di sebalik  kesempurnaan lahiriah yang dimiliki Nurhani rupanya masih ada kekurangan  yang dia tidak dapat menerima. Tak mungkin dia akan mendamping gadis  kurang siuman biar secantik bidadari pun. Sebelum satu kolej tahu akan  semua ini, difikirkan ada baiknya dia terdahulu menjauhkan diri dari  gadis yang dianggapnya gila. Irzi Aizat tidak mahu dirinya di tertawakan  teman-teman kerana berpasangan dengan gadis cantik yang kurang siuman.  Dia rapat dengan Nurhani selama ini hanya ingin dianggap hebat dan  dipuji mempunyai pasangan kegilaan ramai. Dia merasakan nasib agak baik  kerana belum pernah meluahkan perasaan cinta pada Nurhani biarpun dia  berhajat untuk melakukan selepas cuti semester nanti.
“Terima  kasih makcik sebab bagitau saya semua ni. Saya minta diri dulu. Tolong  cakap pada Hani saya nak balik K.L.” Ujarnya seraya diangkat kaki  meninggalkan rumah Zaidah.
*****
Nurhani  bergegas pulang bila Zakiah memaklumkan padanya bahawa Irzi Aizat ingin  kembali ke Kuala Lumpur. Dia yakin dia akan sampai sebelum Irzi Aizat  bertolak pulang kerana dia sudah arif dengan jalan pintas ker umahnya  dengan hanya beberapa minit berjalan kaki, apatah lagi kalau berlari.
Irzi  Aizat pantas berkemas namun belum sempat dia berlalu keluar dari bilik  rumah Nurhani, Nurhani sudah pun tercegat di muka pintu. Irzi Aiza mula  cemas kerana risau berlaku sesuatu yang tak di ingini. Dia juga tahu  tindakan orang yang mengalami masalah mental seperti Nurhani tindakannya  di luar jangkaan.
“Nak  balik? Kenapa? Sebelum aku lepaskan kau balik, aku nak bawakan kau ke  satu tempat yang belum kau kunjungi semenjak sampai di sini.”
*****
 Kereta  dipandu mengikut arah yang ditunjuk Nurhani. Perjalanan mereka berhenti  bila tiba di hadapan masjid. Nurhani menutupi kepalanya dengan  selendang yang dibawa sebelum menuruni kereta. Irzi Aizat membontoti  Nurhani tanpa berani bertanya walau hatinya bimbang.
Dibawanya  Irzi Aizat ke tanah perkuburan yang terdapat di belakang bangunan  masajid. Langkahnya bernoktah di salah satu kubur di situ. Dia duduk  bersimpuh, menadah tangan membaca ayat- ayat suci dihadapan pusara itu.  Selesai berdoa Nurhani bangun bertentang mata dengan Irzi Aizat.
“Inilah  tempat bersemadinya sahabat aku yang menghembus nafas terakhirnya di  atas riba aku, Zi. Aku tak pernah lupa dia dah pergi. Mungkin kau anggap  aku gila bila kau lihat dan dengar sendiri cerita tentang aku dan masa  silam ku. Aku ada sebab tersendiri atas tindakkan aku. Aku tak kisah  orang nak anggap aku gila. Sehingga sekarang kasih dan rindu aku  terhadapnya tak pernah terkurang apatah lagi hilang. Aku buat semua yang  dianggap gila itu untuk memberi kekuatan pada diri aku untuk meneruskan  hidup.mungkin aneh caranya tapi dengan cara itu aku tak rasa sangat  kehilangannya dan sedikit sebanyak terubat rindu aku. Selepas kematian  abah kandung aku, dialah lelaki yang memberi kasih seperti abah dalam  nama sahabat. Tapi apakan daya lelaki kesayangan aku ditakdirkan untuk  aku cuma sementara. Kau tahu kenapa aku mendampingi kau? Sejak awal aku  tahu cuma wajah kau mirip Izham tapi bukan perangai kau. Aku tahu kau  rapat dengan aku untuk membuktikan diri kau hebat pada kawan-kawan di  mana dapat seorang gadis cantik dan sukar didekati. Bukan aku riak  dengan keistimewaan anugerah Tuhan pada aku seperti kau tapi dengan  keistimewaan itu sahaja aku dapat dekat dengan kau. Sejak kali pertama  mengenali kau aku telah bertekad ingin mengubah kau menjadi Izham secara  perlahan-lahan agar aku dapat pengantinya. Tapi aku terlupa Irzi Aizat  yang mahu ku bentuk menjadi Izham adalah orang yang mengasihi  kecantikkan ku bukan mengasihi aku setulus hatinya. Sekarang aku sedar  kau tak mungkin dapat d ubah menjadi Izham kesayanganku. Aku tak kisah  kalau kau nak canang satu kolej bahawa aku gila tapi selepas kau  melangkah balik K.L nanti maka jangan menoleh lagi pada aku. Aku tak  mahu ada apa-apa kaitan dengan kau lagi. Kau takkan mampu memberi kasih  seperti Izham apatah lagi abah pada aku sebab kau tak pernah sudi  memberinya. Sekarang kau boleh pergi.”
Nurhani  berlalu meninggalkan Irzi Aizat termanggu sendirian di depan pusara  Izham. Setiap derapan kakinya diiringi airmata yang dia sendiri tidak  pasti untuk apa tangisan itu berarus. Kerana sikap Irzi Aizat atau  kerinduan yang kembali menyengat perit dihatinya terhadap Izham?
Irzi  Aizat terus terpaku di situ. Kakinya terasa di ikat dengan kenyataan  Nurhani. Sekali lagi dia tersilap mentafsir. Dan kesilapan kali ini  memutuskan segalanya. Persahabatan dan juga perasaan cinta yang  kecundang sebelum bermula. Kini baru dirasakan adalah satu kerugian  besar dalam hidupnya melepaskan gadis unik dan istimewa seperti Nurhani.  Inilah kali pertama dia berasa begitu terhadap seorang gadis.
**Ini adalah hasil tulisan saya tak lama dulu. Dah bertahun saya tidak mengarang sebarang cerpen. Sebenarnya cerpen ini adalah kesinambungan dari cerpen yang saya pernah tulis (Tasik seribu memori) tapi saya dah hilangkan. Dulu sebelum popular pendrive/thumbdrive saya save dalam disket. Disket tu dah rosak. kekekeke.. Original dari tulisan tangan pun rasanya dah takde. Semuanya saya karang semasa di kampung dulu. Apapun saya mengharap komen yang membina untuk saya kembali menghasilkan cerpen. Terima kasih pada yang sudi membaca.


2 comments:
wah ... berbakat jgk akk yerk .. menarik ...
bakat yg tenggelam.. tu semua koleksi arkib jer.. yg terbaru blom ada lagi
Post a Comment