CERPEN (Janji Sahabat)

Category: Romance and Relationships

Malam semakin merangkak usianya ke angka sebelas. Syirah masih belum mahu melelapkan mata. Ketiadaan Junaidah memang mengundang rasa sunyi dan bosan. Junaidah memberitahunya tergesa – gesa petang tadi. Katanya  pakcik Mahat telefon dari kampung, meminta Junaidah pulang dengan segera kerana  makcik Sofia di masukkan ke hospital akibat serangan jantung dengan tiba- tiba. Gegaslah Junaidah pulang, dengan menaiki bas ekspress klang- kulim. Nasib baik bukan musim cuti, kalau tidak pasti tiket bas menjadi masalah. Jika tidak memikirkan kuliah seawal esok pagi Syirah juga ingin turut sama pulang, dapat juga di jenguk mak, abah dan adik di kampung. Menanti matanya mengantuk, Syirah membelek majalah remaja yang belum sempat di habiskan bacaan sejak membelinya seminggu lalu sambil mendengar radio dikamar bujang
** Musrizal mula sedar sudah lewat sangat dia melayani bola di meja snuker, segera di habiskan permainan. Jika terus di layani bola- bola di meja snuker itu pasti esok dia akan lewat ke kuliah pagi seperti pagi tadi. Di sudahkan pemainan terakhir, lalu terus melangkah ke parking park. Arah di tuju ke satria merah yang di hadiahkan oleh Abahnya setahun lalu. Tanpa di sedari. dari celahan deretan kereta, ada mata yang sedang memerhati gerak langkahnya menunggu peluang untuk menyerang.
 Setelah di pastikan tiada sesiapa yang lalu lalang di situ, tiga anak muda itu  keluar lalu menyerbu kearah Musrizal. Ketiga tiga mereka menutup separuh muka. Dua darinya memegang erat tangan dan seorang darinya memekup mulut musrizal. Bau ubat yang kuat membuatkan kepalanya berpusing. Tidak sampai seminit menyedut bau ubat itu , Musrizal terus longlai tidak sedarkan diri.
** "Pelik! Habis siapa yang call Jun cakap mak masuk hospital kalau bukan abah?"
"Agaknya kawan- kawan kamu tak, Jun? manalah tau diaorang nak bergurau dengan kamu."  Duga Mahat. Dia sendiri terkejut, bila melihat anak gadis tunggalnya tiba- tiba pulang ke kampung.
 "Siapa punya kerja ni? Kalau Jun tahu, siap orang tu!"
Bentak Junaidah, mengertap bibir menahan geram yang semakin menyengat dihatinya. Gurauan sebegitu memang baginya agak melampau. Sejak menerima berita yang konon ibunya sedang sakit, sepanjang perjalanan jiwanya resah yang tiada taranya. Sudahlah begitu, kuliahnya juga ketinggalan.
** Ketukkan kuat pintu rumah, mengejutkan Syirah yang mula asyik melayani isi majalah remaja. Namun ketukkan itu hanya di talu sebanyak tiga kali sahaja kemudian senyap, hanya kedengaran tapak kaki seperti orang berlari. Syirah meninjau dari lubang tingkap, memastikan tiada apa- apa kehilangan dihalaman rumah sewaanya kerana dia beranggapan mungkin budak - budak nakal dikawasan perumahan itu yang membuat angkara. Dia meneliti sekeliling halaman melalui lubang tingkap. Di hadapan pintu rumahnya kelihatan seperti sekujur tubuh sedang terbaring. Hatinya mula gusar, berbagai tanggapan negatif mula menular di kotak fikiran. Bagi mengenalpasti apa atau siapa yang sedang tersadai di depan pintu rumahnya, di nyalakan lampu luar sebelum menguak pintu. Setengah memekik Syirah bila melihat sekujur tubuh itu milik teman sekuliahnya di kolej, juga teman lelaki kepada Junaidah sahabat baiknya. Melihat musrizal dalam keadaan tidak sedarkan diri, di heretnya musrizal ke dalam rumah, sebelum di beri bantuan susulan bagi menyedarkan Musrizal dari pengsan.
** Di renjis muka Musrizal untuk sekian kalinya. Diharap agar musrizal lekas sedar dan pulang kerana dia bersendirian, risau kalau- kalau sesuatu yang buruk bakal menyusur selepas ini.
"Eh! Kenapa saya ada disini?"  Soal Musizal sebaik saja tersedar dari pengsan. Lebih memeranjatkan lagi, celik sahaja mata, di lihat wajah Syirah, teman serumah kekasihnya, juga rakan sekuliah.
"Syukurlah awak dah sedar. Elok awak balik sekarang, Jun takde kat sini."
"Takde? Dia kemana?"
"Balik kampung. Awak jangan banyak soal, balik la…"
Interaksi antara mereka ternoktah bila mendengar ketukan pintu berserta salam dari luar rumah. Gegas Syirah berlari anak membuka pintu. Sebaik pintu rumah ternganga luas kelihatan tiga orang lelaki bersama dua orang wanita yang tidak di kenalinya berdiri di muka pintu.
"Kami dari jabatan Agama Islam Selangor mendapat laporan disini ada pasangan yang bukan muhrim berdua- duaan."
Syirah tergamam, begitu juga Musrizal. Kedua- duanya kaku membisu dengan kejutan yang baru di terima.
** Heboh satu kolej memperkatakan tentang Musrizal dan Syirah. Junaidah yang baru pulang petang semalam turut tidak terkecuali untuk mendengar khabar yang mendukakan itu.
Syirah awal pagi lagi sudah bertolak balik ke kedah atas arahan keluarga yang sudahpun menerima berita yang memalukan itu.
"Jun tak sangka Mus sanggup buat begini pada Jun.."
Aimatanya mula bejuraian. Sejak Anita juga teman sekuliah memaklumkan berita tentang Musrizal dan syirah ditangkap khalwat semalam, airmatanya tidak kering mengalir.
"Jun.. Mus teraniaya! Percayalah… Mus tak pernah curang dengan Jun, apatah lagi orang itu Syirah!"
"Ah! Mus fikir Jun bodoh?! Semuanya seperti sudah dirancang."
"Ya! Memang ia satu rancangan, Mus pun fikir begitu tapi bukan Mus yang aturkan semua ni! Tolonglah percaya.."
"Habis siapa?"
Tiba- tiba sahaja dia teringat akan teman sekampung juga teman serumah merangkap teman baik sejak kecil lagi. Syirah yang selama ini tidak pernah punyai kekasih. Mulalah prasangka buruk bercitra di hatinya terhadap Syirah. Walau dia amat kenal dengan sikap Syirah namun entah kenapa bisikan hati tetap mencurigai keperibadian gadis pendiam dan setia kawan terhadapnya selama ini.
"Tentu ni kerja Syirah!"
"Jangan menuduh sebarangan Jun."
"Habis kalau bukan dia siapa lagi?"
"Itu yang perlu kita cari siapa dalang di sebalik semua ni." Putus Musrizal membulat tekad mencari siapa yang telah yang punya angkara.
***
 "Apa?! Tak mahu kahwin? Dengan apa yang telah kau buat, kau berani bagitau mak kau tak mau kahwin! Sama ada kau nak tengok mak mati dengan menanggung malu atas perbuatan kau atau kau mesti kahwin bagi membersih kembali maruah keluarga yang tercemar. Pilih satu antara dua, Syirah!"
Ugut Rozimah, keras. Bagi Rozimah apa pun yang terjadi hanya mengahwinkan anak gadis sulungnya itu saja dapat menutup mulut orang kampung yang sekarang rancak becerita tentang Syirah ditangkap khalwat seminggu lalu.
"Ayah…." Syirah cuba merayu.
" Kau sendiri yang buat, bukan kami yang suruh. Sekarang kau terima sajalah balasan dari perbuatan kau tu. Maruah keluarga terletak ditangan kau, Syirah. Buatlah penilaian dan keputusan." Putus Azman. Dia mengerti ketidak relaan syirah namun hanya itu saja penyelesaian yang ada.
Syirah mati akal! Tidak terdaya lagi membantah, sedayanya cuba menyakinkan kedua orang tua nya tentang apa yang berlaku sebenarnya antara dia dan musrizal. Jangankan percaya membuat analisis tentang kesahihan cerita yang di sampaikan  itu pun tidak. Bagi orang tua nya, apa yang di sampaikan Syirah Cuma alasan untuk mengelak dari bertanggungjawab dalam hal ini. Syirah kelu lidah, darah daging sendiri meragui keperibadiannya apatah lagi orang luar yang hanya mendengar seterusnya membuat andaian dan penilaian sendiri untuk mensahihkan lagi cerita yang di dengar.
Pun begitu tetap berharap agar ada keajaiban yang akan berlaku untuk menghalang pekahwinan itu dari berlaku.
Airmata gadis mula mengalir perlahan- lahan menuruni dataran pipi untuk menyatakan betapa dia tidak rela dirinya di peristeri oleh musrizal dimana bakal suaminya itu adalah kekasih pada Junaidah sahabat baik sendiri. Kini Junaidah telah mengariskannya sebagai pengkhianat dan cuba merampas milik sahabat sendiri. Dengan perkahwinan dia dan musrizal, entah apalagi yang di anggap Junaidah padanya. Pastinya ia lebih dahsyat dari yang diterima sekarang.
** "Keluarga syirah mahu Mus bertanggungjawab dalam hal ni. Mama pun rasa itu yang terbaik demi membersihkan nama baik keluarga mereka dan juga keluarga kita yang dah tercemar ni."
Ujar Mazni lembut, membelai anak  lelaki bongsunya dengan kata- kata biarpun kesalahan yang dilakukan Musrizal agak berat. Sejak kecil Mazni  terbiasa menegur kesalahan anak - anak dengan cara perlahan dan halus. Bagi Mazni anak anak jika terlalu di ajar dengan kekerasan, mereka akan rasa tertekan dan juga terasa di ugut. Pasti menganggu emosi lebih lebih lagi anak remaja seperti musrizal, tindak tanduk mereka lebih berlandasan hati dari akal jika cara menasihatinya salah.
"Tapi mus baru 21 tahun, syirah pun macam tu jugak! kami masih study lagi! Terlalu muda untuk berkahwin."
Musrizal berkeras tidak mahu. Bagaimana bisa dia mengahwini orang lain sedangkan dihatinya Junaidah yang dicinta. Namun percintaan dia dan Junaidah masih menjadi rahsia dari pengetahuan keluarga menyukarkan lagi dia untuk mengelak dari mengahwini Syirah.
"Jadilah orang yang bertanggungjawab Mus." Pesan Fauzi. Sejak kecil Musrizal tidak pernah  membantah cakap ibu bapa. Mereka juga tidak sampai hati untuk memaksa namun keluarga  Syirah semakin mendesak.
Musrizal dapat melihat keresahan Mamanya saban kali Ibu Syirah menghubungi mereka bertanya tentang tarikh perkahwinan dia dan Syirah.

****
Syirah dan musrizal berpandangan sesama sendiri beberapa saat apabila diminta menyempurnakan upacara pembatalan air sembahyang seperti kebiasaannya dilakukan keatas pasangan yang baru diijab kabul. Ada kejanggalan diraut wajah pengantin baru itu.
Syirah malu – malu mencium tangan suaminya, begitu juga musrizal agak kekok ketika mencium dahi isterinya. Flash camera terus menerus bersilau silau tanpa henti merakam detik bersejarah dua mempelai itu.Upacara akad nikah Cuma dihadiri kaum keluarga tedekat. Bagi syirah, emak, ayah, dan adik bongsunya sahaja diizinkan untuk turut serta dalam majlis pernikahan. Musrizal juga hanya di temani mama, abah, abang dan kakak iparnya. Untuk saudara mara yang lain Cuma di maklumkan saja tentang pernikahan mereka tapi tidak di undang untuk meraikan. Itu adalah salah satu syarat yang dikenakan oleh pasangan pengantin itu sebelum bersetuju di nikahkan. Diantara syarat lain dikenakan adalah pernikahan mereka tidak akan sama sekali diadakan sebarang majlis sama ada secara kecil mahupun besaran. Musrizal tidak mahu pernikahan ini di hebah kepada ramai. Jika ikutkan hatinya, biar tiada siapa tahu akan pernikahan mereka. Namun dia tahu hampir separuh pelajar di kolej sudah menerima cerita sensasi dia dan Syirah. Lumrah alam, si becok sentiasa wujud. Walau ke lubang cacing sekalipun, demi menjadi penyampai tak bergaji rela cari gali.
Selesai upacara pernikahan, kedua dua belah pihak pengantin mengucap syukur dan tesenyum lapang kerana apa yang dirancangkan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Tiada jelingan manja berbalas antara satu sama lain. Diraut wajah masing masing tergambar keterpaksaan terhadap perkahwinan mereka. Sudah dibayangi kesulitan dan kesukaran yang bakal dihadapi  bermula dari saat mereka di sahkan sebagai suami isteri. Tak terlintas walau sesaat akan ada sinar kebahagian untuk perkahwinnan tanpa rela ini.
***
Kedua- dua mereka termenung jauh melayani perasaan sendiri. Suasana malam pertama di kamar pengantin tampak jelas hambar. Syirah memantau jauh pandangan keluar jendela, manakala Musrizal bertongkat dagu di meja tulis milik Syirah.
"Esok aku nak balik Klang!"
Ujar Musrizal memecah sunyi kamar. Mendengar keputusan sebegitu serta merta Syirah berpaling kearah Musrizal.
"Tapi kita harus selesaikan pekara ni malam ni juga!"
Tambahnya lagi. Nadanya agak meninggi namun masih dalam kawalan agar patah katanya tak di dengari keluarga mertuanya.
"Selesaikan apa?! Kalau kau nak menceraikan aku malam ni, tak perlu kau bersetuju berkahwin dengan aku. Segalanya sama je.. malu! Kita berkahwin untuk menutup malu yang family kita tanggung."
"Ini semua kau punya pasal! Kalau kau tak setuju, semua ni takkan berlaku!"
Bentak Musrizal, api marahnya mula memarak.
Syirah memana tepat ke dalam anak mata Musrizal. Garangnya terserlah dek tenungan tajam itu. Kata kata Musrizal begitu mencabar naluri kewanitannya.
"Berdosa bagi seorang isteri meminta cerai dari suaminya… Aku tak mahu menanggung dosa itu. Sekarang terserah pada kau untuk membuat keputusan."
Balas Syirah dalam nada dan wajah yang sayu. Perlahan- lahan di alih kembali pandangan ke luar jendela menatap keindahan malam walau tak mampu memberi sekumit pun ketenangan padanya di ketika ini. Musrizal terkaku diam. Timbul rasa kesal kerana terlalu ikutkan perasaan dan melukakan hati Syirah yang juga tertekan kala ini.
***
Imran, Nazir dan kamal ketawa berdekah- dekah sambil menghirup minuman di salah sebuah pub yang terkenal di ibu kota. Gembira tak terkira bila apa yang di rancang menjadi seperti perancangan yang di buat. Yang paling riang adalah Nazir. Kini penghalang utamanya untuk memiliki Junaidah sudah berpunya dan bergelar seorang suami.
"Akhirnya aku akan dapat apa yang aku ingin!"
tuturnya beriak riang dan terlalu yakin. Seolah- olah gadis impiannya kini sudah dalam dakapan.
"Fuh! Tak dapat Siti Nurhaliza dapat klon pun jadilah.."
Sindir Imran, mencebik kearah Nazir sambil menjeling kearah kamal. Mereka tersenyum mengusik Nazir semakin teruk penyakit angaunya.
sindiran dan usikan dua temannya itu langsung tidak di ambil kisah. Fikirannya melayang ke seraut wajah yang seiras benar penyanyi popular siti Nurhaliza. Dia membayangkan hari- hari indah bersama gadis impiannya itu. Sehingga terlupa akan dua temannya yang masih berada di sebelah.
***
 "Sudah la tu, Jun. bawa- bawa bersabar. Jangan ikut hati sangat, nanti badan kau yang merana."
Nasihat Eliza di pedulikan Junaidah, malah semakin Eliza bersuara semakin kuat esakannya.
"Dah jodoh mereka, Jun.. Redha ajelah."
Tambah Eliza lagi menambah lagi sakit hati Junaidah bila mendengar perkataan jodoh untuk Syirah dan Musrizal. Sesaat pun dia tidak pernah merestui jodoh itu.
"Senang la kau cakap Eli, yang berkahwin tu bukan pakwe kau! Tapi aku ni, dah la kawan baik sendiri rampas teman lelaki aku. Kalau kau di tempat aku sekarang, kau pun mesti sakit hati."
"Jun.. semua ni takdir. Apa yang jadi sudah tersurat." Eliza cuba memujuk biarpun dia tahu, kata- katanya Cuma membazir air liur.
***
 "Kau yakin kita akan bahagia kalau kita teruskan perkahwinan ini?"
Soal Syirah memecah kebisuan antara mereka. Musrizal tercengang dengan lontaran pertanyaan itu. Dia yakin Syirah juga sudah tahu akan jawapannya.
"Aku Cuma cintakan Jun!" Tegasnya dalam nada sayup.
"Kita buat perjanjian!" Putus Syirah.
"Perjanjian?"
"Ya! Perjanjian!"
***
Kehadiran Syirah agak mengejutkan. Melihat saja wajah Syirah yang masih mampu menguntum senyum padanya, makin membuak kemarahan. Namun melihat seraut wajah kekasih, hati, bagai di hembus bayu dan bahang api marah tadi reda seketika. Cinta yang mendalam memaksa dia untuk menerima kedatangan pasangan pengantin baru itu menjenguknya di rumah sewaan Eliza yang baru di di diami seminggu lalu.
"Apahal kauorang datang?" Junaidah Bertanya dalam nada sombong.
"Untuk leraikan persengketaan kita." Balas Syirah, tetap tenang dan lembut bahasanya.
 "Sebelum kauorang jelaskan apa- apa, boleh aku cakap secara personal dengan Syirah sekejab?"
Syirah berpaling pada musrizal sambil dianggukkan kepala mengisyarat supaya Musrizal beredar sebentar diantara mereka.
Musrizal angkat punggung, namun tidak sempat melangkah keluar dari ruang tamu, Junaidah menegah perbuatannya terlebih dahulu supaya terus bertamu di situ.
"Mus! Tunggu disini. Jun nak cakap dengan Syirah dalam bilik. Syirah ikut aku."
Syirah membontoti Junaidah seperti yang diminta sehingga kedalam kamar.
Di kunci pintu rapat. Setelah itu dibawa diri mengadap meja solek. Wajah anggunnya terserlah dalam biasan cermin. Junaidah tersenyum sendiri sambil di saksi Syirah yang masih tertanya- Tanya apa yang mahu di perkatakan Junaidah padanya.
"Syirah! Meh, duduk sebelah aku."
Syirah setia menuruti apa saja yang di arah Junaidah.
"Lihat di cermin tu!"
Arahnya sambil memuncungkan mulut kearah cermin. Di cermin hanya kelihatan wajah mereka berdua.
Syirah masih tidak dapat menguraikan teka- teki Junaidah. Dahinya mula bergaris halus menampakan tanda Tanya pada Junaidah.
"Kau bukan saingan aku! Kalaupun kau dapat, aku akan pastikan kau takkan memiliki. Kau dah berjaya merampas dan jangan terkejut kalau ia dirampas dari kau. Kau dan aku akan rasa bagaimana perasaan merampas dan di rampas!"
Tuturnya tegang dalam tenang.
Syirah mula mengerti apa yang di sampaikan Junaidah walau dalam simbolik kata. Memang antara dia dan Junaidah jauh beza. Di akui raut wajahnya tak secanti Junaidah.
Syirah melukis senyuman pada teman baiknya yang kini telah pun menggariskannya sebagai musuh.
"Tak perlu kau nak rampas sebab aku tak pernah dapat apatah lagi memiliki. Dan aku tak pernah terniat pun untuk merampasnya dari kau seperti yang kau sangka."
"Sudahlah Syirah! Aku tahu kau cemburukan aku sejak dulu lagi. Aku sentiasa di gilai jejaka kacak, kaya dan hebat- hebat. Kekasih- kekasih aku dulu pun bukan calang- calang orang dan Musrizal juga tergolong dalam golongan itu sedangkan kau kekasih pun tak ada!"
"Cukup, Jun! jangan terus menghina aku sedangkan kau tak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Ya! Aku tak pernah punyai kekasih selama ini tapi bukan bermakna kau seorang saja yang hebat Cuma cinta pada aku bukan cinta tanpa ikatan."
Pintas Syirah kali ini agak serius cakapnya. Junaidah terlalu mengugut kesabarannya bila dia cuba beralah. Namun kemarahan dapat di bendung dengan beristifar dalam hati.
"Jun… aku tak pernah merampas hak kau dan datangnya aku hari ini adalah ingin kembalikan semula apa yang kau kata hak kau itu."
Junaidah bagai di sentap dengan penjelasan Syirah, seraya berpaling bersemuka dengan bekas teman baiknya itu.
"Aku dan Mus dah berbincang tentang hal ini. Perkahwinan kami hanya akan bertahan sepanjang semester ini sahaja. Bermakna hanya enam bulan saja kami akan bergelar suami isteri. Habis saja semester akhir bermakna tamatlah perkahwinan ini. Jika kau masih cintakan Mus, sabarlah. Semuanya akan berakhir."
Mendengar pengakuan Syirah, air muka Junaidah terus berubah. Dia tahu Syirah tidak akan berbohong dan Syirah tidak pernah berbohong padanya selama ini. Junaidah sudah mampu tersenyum girang.
"Tapi aku tetap boleh keluar dengan Mus, kan?"
Syirah Cuma mengangguk mengiyakan. Junaidah menghela nafas lega.
Cepat- cepat Musrizal kembali ke sofa. Risau juga kalau perbuatannya mencuri dengar perbualan mereka di ketahui. Di duduk sambil membelek majalah biarpun sebaris pun isi majalah itu tak di baca. Sengaja dia berbuat begitu agar perbuatan mencuri dengar perbualan mereka tidak di syaki.
"Sekarang kitaorang nak balik. Kau, Jun hati- hati dengan Nazir tu. Aku syak dialah dalang di sebalik kejadian ni.?"
Pesan Syirah.
"Nazir budak sekelas kita tu?"
"Ya! Kau pun tahu dia bermusuh dengan Mus sebab kau. Nazir boleh buat apa saja yang di luar jangkaan kita."
"Mus pun rasa dia dalangnya, Jun. sebab sebelum Mus pengsan Mus rasa terdengar suaranya diantara tiga lelaki yang menyerang Mus tu."
Sampuk Musrizal cuba menyokong andaian Syirah biarpun siapa dalangnya masih tak berjawapan berbukti sahih.
***
"Syirah masuk tidur dulu Mama, Abah."
Ujarnya sopan sambil membongkok sedikit tubuh ketika melintas di hadapan ibu bapa mertuanya. Hari pertama di rumah mertua memang pengalaman baru baginya. Nasib baik keluarga Musrizal melayannya tidak seperti orang asing. Mereka menyambut baik kehadirannya membuatkan Syirah tidak terlalu berasa janggal menyertai keluarga mereka.
Musrizal masih di depan computer peribadinya sejak tadi. Entah apa yang di buat Syirah tak pula berani menjenguk apatah lagi bersoal jawab. Dia tahu kehadirannya bukan di damba malah di anggap satu malapetaka bagi Musrizal.
Matanya mula pedih namun dimana harus di labuhkan tubuh biar pun katil Musrizal terhampar di depan mata. Mahu tidak mahu terpaksa juga di ganggu gugat keasyikan Musrizal dengan computer peribadinya.
"Mus, aku nak tidur kat mana?"
"Hek eleh! Kau tak nampak ke katil sikit punya besar depan mata kau tu. Tidur je la." Balas Musrizal tanpa sesaat memaling pada Syirah. Matanya terus melekat pada skrin di komputer.
"Habis kau?"
"Ni rumah aku! Tahu la aku. Eh! Dah tu, tidur je atas katil tu kalau kau mengantuk."
Perasaan pilu mula menyelubungi. Tidak pernah sedetik terlintas di hati akan begini takdir untuknya. Terasa bagai bersuami seorang musuh yang amat membencinya sehingga melihat wajahnya pun dia tidak sudi apatah lagi melayan sebagai seorang isteri. Syirah menahan sebak sendirian, memendam rasa dalam jiwa.
***
Syirah tidak tahan lagi. Sepanjang perjalanannya di perhati. Setiap perhatian yang di beri pasti di susuli ejek dan sindir.
"Hai! Takkan sorang je mana cik abang? Masa in love boleh pula berdua – dua dalam rumah bujang takkan dah kahwin nak malu berjalan berdua." Sindir Anita memang sudah serasi dengan gelaran si mulut jahat. Apa yang lebih memedihkan Syirah adalah sindiran Anita di sambut hilai tawa dari teman – teman yang lain.
Syirah menangis semahu – mahunya sendirian di bangku rehat hujung padang kolej. Dia tiada tempat mengadu. Pelik! Musrizal tidak pula di kutuk. Malah tanpa segan silu sepanjang kuliah dan sehingga tamat kuliah, asyik berkepit dengan Junaidah. Tak pula sesiapa yang mengkritik hebat perbuatan seorang lelaki bergelar suami, yang terang – terangan berlaku curang di depan perempuan yang bergelar isterinya. Syirah tertanya – Tanya apakah kerana dia seorang wanita yang terkenal dengan sikap pendiam dan pemalu membolehkan mereka yang berani bersuara menghinanya sesuka hati.
"Syirah…!"
Panggilnya garang. Gegas di sapu airmata. Di panggung kepala mendongak sedikit memandang jejaka yang berdiri benar – benar di depannya.
"Jom balik!" Ajak Musrizal kasar. Syirah Cuma mengikut arahan. Mata Syirah yang bengkak dan merah kerana terlalu banyak menangis langsung tak di pedulikan Musrizal walau dia sedar akan perubahan itu, apatah lagi bertanya kenapa dan mengapa.
***
"Apa ni Nazir! Tepilah!" Pekik Junaidah bila Nazir mendepa kedua – dua belah tangannya menghalang laluan Junaidah.
"Jun.. Kenapa kau sombong sangat?"
"Suka hati aku la! Boleh tak kalau kau jangan ganggu aku?!"
"Aku pelik la dengan kau ni, Jun. Kau cantik tapi kenapa laki orang pun kau nak? Aku ni bujang, kau tak layan. Apa yang hebat sangat si Musrizal tu, ha?! Apa yang kurang aku ni, Jun?"
"Memang ada kurangnya, Nazir. Kau nak tau kurang apa? Kurang ajar! Tepilah!"
Junaidah menolak kuat lengan Nazir yang menghalang jalannya tadi seraya berlari sekuat mungkin agar cepat pergi jauh dari Nazir.
Nazir mendegus kuat nafas menahan sakit hati dek perbuatan Junaidah tadi.
Tercabar kelakiannya. Bukan sekali Junaidah bersikap dingin terhadapnya malah sudah berkali – kali dia di tolak mentah – mentah. Di hati Nazir semakin berapi dendam. Mungkin dengan berlembut, bukan cara terbaik untuk memiliki gadis cantik itu namun tidak sampai hati pula untuk berkasar dengan seorang gadis.
***
Melihat Musrizal tekun berdandan  sehingga berkali – kali membetulkan rambut yang sudah di sisir rapi timbul kemusykilan pada Syirah. Jam sudah melepasi sepuluh malam. Mahu bertanya takut di sergah. Syirah memutuskan untuk terus berteka teki sendiri tentang haluan Musrizal pada malam – malam begini.
"Aku nak keluar dengan Jun. Kalau mama dengan abah Tanya cakap aku keluar minum dengan kawan. Bincang pasal assignment." Ujar Musrizal. Syirah sekadar mendengar dan menyimpan pesanan tanpa bersoal jawab apa - apa biarpun dia agak geram dengan sikap Musrizal yang mula mengajarnya menjadi seorang penipu. Tapi apa dayanya untuk membangkang apatah lagi menegur sikap buruk Musrizal, jika di tegur pasti melenting. Bukan sekali dua, malah sepanjang tiga bulan perkahwinan mereka dia di marah, malah pernah di herdik Musrizal bila cuba menegur sikap Musrizal yang sering membawa Junaidah keluar lewat malam.
"Aku pergi dulu. Jangan lupa sebelum tidur iron baju aku. Esok aku nak pakai ke kelas." Tambahnya lagi. Syirah di perlaku tak ubah seperti orang gaji. Sememangnya sejak bergelar suami isteri, keluarga Musrizal dengan rela hati mahu membiayai sepenuhnya pengajian dan perbelanjaan Syirah.  Kemulian hati kedua orang tua Musrizal itulah membuat Syirah tidak sampai hati. Dan membiarkan dirinya di perlaku seperti hamba pada suami sendiri di luar pengetahuan keluarga mertuanya. Dia juga terpaksa berlakon mesra dengan Musrizal di depan mertua untuk menyembunyikan apa yang berlaku di belakang mata kedua orang tua itu agar tidak timbul kerisauan pada mereka melihat hubungan dingin anak dan menantu. Namun begitu Syirah tetap sabar  menunggu saat berakhirnya sebuah lakonan bahagia berada di samping Musrizal.
***
Musrizal menghempap kuat tubuhnya ke katil. Syirah yang mula nyenyak terjaga bila tubuhnya terasa sedikit melantun dari tilam empuk. Biarpun kepulangan Musrizal di sedari namun dia tetap memejam mata berpura – pura perbuatan Musrizal langsung tidak menganggu gugat tidurnya. Malas nak melayan ejek dan kutukan Musrizal yang sering di hambur setiap hari tak kira masa tiap kali melihat matanya berkelip cergas. Bukan itu saja yang perlu di tempuhi sepanjang perkahwinan mereka, malah Musrizal sering mengenakannya dengan pelbagai helah untuk menyakiti hatinya. Jika dia berjaya mempermainkan syirah, Musrizal akan ketawa kuat. Daripada terus di sakiti, biarlah Musrizal tidak tahu dia sudah terjaga dari lena.
Musrizal berbaring secara mengiring mengadap Syirah. Entah kenapa malam ini hatinya begitu ingin mahu melihat wajah Syirah. Sepanjang mereka tidur sebilik, wajah gadis yang bergelar isteri tidak pernah di renungi. Gadis itu juga tidak pernah terdetik langsung untuk di sentuh. Terfikir juga dia, bagaimana seorang lelaki lain mampu meniduri seorang gadis yang tidak di cintai sedangkan dia tidak mampu melakukan perkara yang sama ke atas Syirah biarpun sudah di halalkan dan sering berduaan di dalam kamar.
Terus ditatap wajah Syirah yang tampak nyenyak sekali tidurnya. Bersih, dan berseri. Biarpun samar, sinar wajahnya masih memancar. Biarpun tanpa sebarang solekan namun masih tampak ayu. Musrizal terpaku seketika. Selama ini Syirah hanya di pandang sepintas lalu namun malam ini bila di tenung sedalamnya, Syirah punya keayuan yang asli. Malah dia kelihatan lebih cantik dari Junaidah.
Dalam keasyikan menatap satu lukisan indah di wajah Syirah, tanpa sedar tangannya mula merayap menyentuh pipi gadis itu. Syirah yang memang sudah terjaga sejak tadi, bingkas bangun dan segera menepis tangan Musrizal yang menyentuh kulitnya.
Terkedu Musrizal. Dia sendiri tidak sedar apa yang di lakukan. Masing – masing gamam memandang antara satu sama lain.
Tiba – tiba airmata Syirah perlahan – lahan mengalir di pipi. Gelabah Musrizal di buatnya. Mungkin Syirah marah atas perbuatannya tadi.
"Syirah.. aku minta maaf. Aku tak bermaksud…"
"Aku tahu berdosa aku menolak tapi haram jika kau bersama aku tapi memikirkan orang lain. antara kita tiada perasaan cinta dan aku tahu di hatimu dan cinta mu hanya untuk Junaidah." Pintas Syirah cuba menjelaskan apa yang memilukan hatinya.
Musrizal terdiam. Dia hilang kata – kata. Tiada alasan yang mampu menyangkal kata – kata Syirah.
Malam terus berakhir tanpa ada seorang pun diantara mereka yang dapat lena dengan nyenyak. Masing – masing mula rasa bersalah, lebih – lebih lagi Musrizal yang selama ini banyak menyakiti hati Syirah sedangkan Syirah hanya diam dan tidak pernah merungut dengan tingkah laku buruknya. Musrizal mula membandingkan Syirah dan Junaidah. Jika Junaidah, salah kecil pun rajuk dan marahnya panjang, apatah lagi jika dia di tempat Syirah. Tak mungkin Junaidah mampu bertahan.
***
"Akhirnya.. semuanya dah tamat dan hampir tamat. Jun rasa lega sangat. Final exam dah habis dan yang paling Jun tak sabar nak tunggu ikatan tanpa rela antara Mus dan Syirah di putuskan." Tutur Junaidah. Nadanya begitu riang. Tidak pada Musrizal. Entah kenapa dia rasa waktu begitu pantas berlalu. Entah kenapa hatinya kian berbelah bahagi untuk melepaskan Syirah. Entah kenapa cintanya pada Junaidah semakin hambar dan tawar. Namun di gagah senyum jua seolah – olah gembira menanti hari berakhir perjanjian antara dia, Syirah dan Juanidah.
***
Musrizal hanya memerhati Syirah berkemas. Sesekali terasa mahu saja menghalang gadis itu melangkah pergi, tapi atas alasan apa? Musrizal semakin keliru dengan perasaannya sendiri. Pun begitu dia mula sedar akan berputiknya cinta pada Syirah namun tiada gunanya jika hanya bertepuk sebelah tangan sedangkan Syirah nampak makin ceria untuk menyambut hari perpisahan mereka secara sah tiga hari lagi. Dalam tiga hari itu Musrizal mahupun Syirah harus membongkarkan perjanjian mereka pada keluarga masing – masing. Keputusan dan kehendak keluarga kali ini tidak mampu lagi mengubah apa – apa keputusan yang mereka putuskan.
"Betul ke kau nak hantar aku ke stesen bas ni? Macam tak percaya pula!" Sindir Syirah. Buat pertama kali berani menyindir begitu terhadap Musrizal. Sememangnya Syirah agak pelik bila Musrizal menawar diri untuk menghantarnya ke stesen bas. Bagi Syirah berkemungkinan itulah cara Musrizal mengucapkan terima kasih padanya kerana selama ini tidak pernah mengadu atau menampakkan sebarang penderitaan yang Musrizal hadiahkan sepanjang perkahwinan mereka.
"Mama.. halalkan makan minum Syirah dan Syirah minta ampun andai ada salah silap sepanjang Syirah disini." Ujarnya menahan sebak ketika mengucup tangan wanita lewat 40an itu. Dia juga berat hati untuk melangkah keluar dari banglo mewah yang menempatkan insan – insan yang begitu baik terhadapnya selama ini biarpun yang bergelar suami sering melayannya dengan kutuk dan sindiran yang memedihkan telinga juga hati.
"Mama pun macam tu juga, Syirah. Syirah cakap macam dah tak nak balik kesini lagi pula." Usik Mazni dapat merasakan sedikit aneh dengan kata – kata Syirah.
"Apa pula tak balik Ma.. bulan depan dia balik la kesini. Takkan dia nak tinggal Mus seorang kot.." Pintas Musrizal cuba untuk menyembunyikan perkara sebenar, biarpun akan di beritahu malam nanti.
Syirah hanya mengangguk mengiya segala penjelasan Musrizal agar rahsia mereka masih tersimpan. Mengikut perjanjian hanya selepas ketiadaan dia saja Musrizal boleh membongkarkan perjanjian itu. Begitu juga bagi pihaknya. Dan masing – masing telah bersetuju.
"Kirim salam Abah. Syirah pergi dulu, Mama. Assalammualaikum." Ucapnya sebelum kereta Musrizal bergerak meluncur keluar dari perkarangan halaman rumah. Sayu hatinya semakin dirasa bila rumah banglo mewah dua tingkat itu hilang dari pandangan. Silih berganti wajah Mama, Abah dan juga Kak tuty, pembantu rumah yang sering menjadi teman berbualnya dirumah jika Mama keluar berurusan dengan ahli persatuannya. Biarpun Abah jarang berkesempatan bersama kerana sibuk menguruskan perniagaan, namun Abah tidak pernah lupa untuk bertanya khabar dan pelajaran mahupun keperluannya setiap kali berkesempatan berbual. Mengenang semua itu,tanpa sedar airmatanya mula menitis.
"Kau menangis? Kenapa?" Soal Musrizal yang secara tak sengaja tertoleh kearah Syirah.
Agak terkejut Syirah. Selama ini tangis atau sakitnya tak pernah langsung di soal Tanya Musrizal. Kehadirannya bagai tidak pernah wujud pada Musrizal. Kebencian Musrizal padanya di tonjol bulat – bulat tanpa berselindung dari sebarang kiasan kata atau perlakuan. Namun sejak seminggu dua ini memang sikap Musrizal agak berubah. Dia tidak lagi menyindir atau menghina Syirah seperti kebiasaannya. Malah dia seolah – olah sengaja mencari ruang bagi memulakan interaksi antara mereka. Bukan Syirah tidak sedar tapi di saat – saat akhir begini dia tidak mahu melayan apa – apa perasaan yang bisa mengakrabkan mereka walau atas dasar kawan sekalipun. Biarlah Musrizal terus melayannya seperti seorang musuh, itu lebih baik kerana antara mereka sudah maklum akan akhirnya perkahwinan itu.
Pertanyaan Musrizal tidak berbalas jawapan. Syirah terus membisu hingga berpisah di stesen bas dengan Musrizal dan Musrizal juga tidak mengulang pertanyaan itu biarpun dia ingin sekali tahu apa yang memilukan hati Syirah hingga mengundang tangis kecil tanpa suara.
***
Sudah malam kedua pemergian Syirah. Namun Musrizal masih berat untuk memaklumkan pada ibu bapanya tentang perjanjian itu. Esok adalah hari terkahir bagi mereka bergelar suami isteri. Keresahan Musrizal semakin ketara. Wajah Syirah semakin berkuasa memenuhi seluruh fikiran hingga nama Junaidah lenyap terus dari ingatannya. Seakan ternampak – nampak kelibat Syirah di dalam kamar. Sesungguhnya dia tidak sanggup melepaskan Syirah. Musrizal mula merasa kesal terhadap perjanjian itu. Kesal atas layanan buruk terhadap Syirah selama ini. Biarpun waktu untuk membetulkan kesilapan lalu semakin suntuk namun baginya tetap punya peluang selagi dia tidak melafazkan cerai terhadap Syirah. Musrizal telah membulat Tekad, akan meluahkan perasaan cinta yang kian merimbun pada Syirah. Hanya itu saja pilihan yang ada untuk menghalang janji enam bulan lalu terkota.
***
"Maafkan Syirah, Mak.. Ayah. Bukan kehendak Syirah atas apa yang terjadi tapi mungkin ini takdir untuk Syirah. Syirah rasa Syirah dah tebus kesalahan Syirah dulu dengan gagah menempuhi hidup sebagai seorang isteri yang masih gadis sehingga kini dan derita sepanjang perkahwinan. Syirah sumpah Mak.. Ayah.. malam Syirah dan Mus di tangkap khalwat, kami tak lakukan apa – apa. Semua terjadi secara tak sengaja. Harap dengan keputusan yang Syirah dan Mus buat untuk bercerai dapat meraih kembali kepercayaan Mak dan Ayah pada Syirah." Terang Syirah cuba mengawal sebak.
Rozimah tidak mampu berkata – kata lagi. Esak tangisnya main lama semakin kuat. Azman hanya tertunduk diam. Kedua – dua mereka kesal meragui keperibadian anak kandung yang di besar dan di didik selama ini. Sedangkan mereka lebih kenal dengan sikap anak gadis sulungnya. Sejak kecil Syirah tidak pernah membantah malah hingga meningkat remaja pun jika hendak kemana – mana pasti bersama ibu atau ayahnya. Cuma sesekali sahaja bersama teman baiknya Junaidah. Itu pun jika situasi benar – benar memerlukannya bersama Junaidah. Azman dan Rozimah beranggapan Syirah mula liar setelah jauh dari keluarga dan menyebabkan perkara memalukan itu terjadi dan kini semuanya telah terurai. Segala prasangka buruk mereka ternyata tidak benar. Namun sudah terlalu lewat untuk menyedari. Esok, anak gadis yang baru berusia 21 tahun itu akan bergelar janda. Status itu tak akan dapat di ubah walau dengan apa cara sekalipun. Semakin kuat raungan Rozimah bila mengenang nasib Syirah atas perbuatan mereka sendiri hingga terpaksa di tenangkan oleh Azman.
***
"Cis! Tak guna betul! Apa yang aku buat, semua sia – sia!" herdik Nazir mula merasa bahang seluruh tubuhnya. Junaidah sehingga akhir semester tetap menolak cintanya. Rancangan yang di aturkan agar Syirah dan Musrizal di cekup pegawai pencegah maksiat enam bulan lalu tidak berjaya memisahkan Junaidah dari pesaingnya. Terpaksa akur dan mengalah juga kerana risau kalau dia cuba terus menerus mencari helah kotor bagi memisahkan pasangan itu, rahsia akan terbongkar. Musrizal mampu mengeluarkan saman keatasnya. Pasti reputasi sebagi model lelaki terkenal akan terjejas dan menyebabkan malu bukan saja diri sendiri malah keluarganya juga akan turut merasa tempias atas perbuatannya.
***
Syirah sudah terpacak di depan pejabat agama seawal pukul sepuluh pagi. Dia bersendirian walau Mak dan Ayahnya menawar diri untuk menemaninya kesana tetapi di tolak kerana semua itu sudah tertakluk dalam perjanjian dengan Musrizal.
Musrizal masih tidak kelihatan seperti yang di janjikan.
Setelah hampir dua jam menanti, panggilan dari Musrizal ke telefon bimbitnya mengakhiri penantian. Syirah gegas pulang bila Musrizal memaklumkan dia kini berada di rumah Syirah. Menurut Musrizal ada perkara penting mahu di bincangkan.
***
Tiba di depan rumah, Satria merah milik Musrizal tersadai di halaman. Syirah segera menaut langkah masuk kedalam rumah. Tiada sesiapa di ruang tamu. Mak dan Ayah juga tak kelihatan. Semakin pelik Syirah jadinya. Tertanya – Tanya dia sendiri, kemana perginya ahli keluarga juga yang bertamu di rumahnya. Syirah melangkah ke kamar untuk menyimpan tas tangan sebelum meninjau mereka yang hilang ke rumah saudara – mara. Dia beranggapan kemungkinan Mak dan Ayahnya membawa Musrizal menziarahi saudara – mara sekampung. Ini kerana sejak mereka bernikah, Musrizal hanya bermalam satu malam sahaja di rumahnya orang tuanya pada malam pernikahan mereka dan tidak pernah datang lagi selepas itu. Kesempatan ini mungkin di ambil untuk memperkenalkan Musrizal pada saudara – mara yang lain. Namun atas alasan apa dia tidak pasti. Keputusan untuk bercerai hari ini dengan Musrizal telah di maklumkan pada kedua orang tuanya. Hatinya terus berperang sama sendiri dengan teka – teki yang masih tak berjawapan.
Sebaik pintu kamar terkuak, sekujur tubuh yang duduk di atas katil agak memeranjatkan. Mengenang mereka masih halal berdua – duaan di biar Musrizal terus merehat diri di tilam empuknya.
Musrizal menguntum senyum menyambut Syirah. Syirah tidak membalas keramahan bibir yang menghadiahkan kuntuman senyum itu, sebaliknya mempamirkan lukisan biasa di wajahnya tanpa sebarang tanda perasaan mewakili apa yang sedang bergelodak dalam sekeping hati itu.
"Baru sampai?" Soalnya pendek sambil meleraikan tudung dari kepala.
"Sejam tadi sampai. Lama ke kau tunggu aku?"
Syirah senyum sinis. Pertanyaan Musrizal memang menyakitkan hati. Sudahlah mungkir janji, bersahaja saja dia bertanya. Memang Musrizal tak pernah berubah. Rupanya sangkaan tentang Musrizal jauh meleset.
"Hari ni tak jadi la.. Kau boleh lafazkan cerai dulu dan kita boleh lapor ke Jabatan Agama Islam kemudian." Tutur Syirah sudah lama bersedia bergelar seorang janda tanpa mahu berfikir apa – apa lagi.
"Siapa kata aku nak bercerai dengan kau?" Tegas Musrizal. Syirah gamam seketika.
***
 "Kita boleh bermula semula, Syirah. Berilah aku peluang untuk tebus semua dosa aku pada kau selama ini." Rayu Musrizal.
"Perkahwinan kita Cuma satu kemalangan. Dan selama ini pun antara kita macam musuh yang di paksa tinggal sebilik dan tidur sekatil tanpa ada apa – apa perasaan selain saling membenci, lebih – lebih lagi kau. Bagaimana boleh wujud perasaan cinta?"
"Aku sedar bila aku mula memikirkan semua tentang diri kau dan cuba mendalami isi hati mu. Hanya satu dalam seribu gadis yang mampu bertahan dengan layanan buruk setiap hari oleh seorang lelaki yang bergelar suami tanpa merungut atau memprotes. Itulah kali pertama aku lihat betapa tulus dan suci seorang gadis yang berada di sisi aku. Kau telah banyak menyedarkan aku, Syirah."
Syirah terpaku diam. Memang amat mengharukan. Tidak pernah di duga akan begitu tingginya penghargaan yang di beri untuknya saat gerbang perkahwinan di ambang musnah.
"Bagaimana dengan Jun..?" Tanya Syirah yang tidak pernah lupa, perjanjian yang mereka buat adalah kerana Junaidah. Soal Junaidah juga tidak boleh di pandang enteng.
***
."Apa semua ni, Mus? Mus bergurau, kan?" Soal Junaidah. Fikirannya kian bercelaru. Apa yang baru terbit dari mulut Musrizal tadi memang khabar yang mengejutkan. Tiba – tiba sahaja Musrizal berubah hati. Sukar untuk Junaidah menerima keputusan itu. Penantian dan kesetiannya selama ini bagai perbuatan yang sia – sia.
"Tidak Jun! Mus tahu bukan mudah untuk Jun menerima kenyataan ini tapi tak ada gunanya kita terus bersama. Jika Mus terus berpura – pura, samalah seperti Mus menipu dan tidak jujur pada Jun." Terang Musrizal tenang namun setiap patah kata yang mahu di hambur pada Junaidah terasa bagai meluah bara api. Terlalu sukar, lebih – lebih apa yang di luahkan itu akan melukakan dan menghancurkan sekeping hati seorang gadis yang pernah teramat di cintai.
"Maafkan Mus.. anggaplah apa yang terjadi takdir yang menduga kita. Maafkan Mus, Jun. maaf.." Musrizal putus kata – kata. Suaranya mula tenggelam timbul menahan sebak kerana terpaksa mengecewakan Junaidah. Namun baginya itulah jalan terbaik. Dia tidak lagi mampu menipu diri sendiri untuk menidakkan perasaan cinta pada Syirah.
Suara tangis Junaidah terus berkumandang hingga saat dia meninggalkan gadis itu sendirian melayan perasaan kecewanya.
***
Syirah termenung sendirian di kamar memantau suasana malam dari lubang jendela. Sudah hampir tiga tahun namun dia masih memegang status janda dan sudah lima pinangan di tolak sepanjang tempoh itu. Junaidah kini sedang bahagia di samping suaminya, anak kepada seorang ahli perniagaan yang agak terkenal. Bukan berita yang gempar bagi Syirah, sememangnya citarasa Junaidah tidak pernah berubah. Musrizal khabarnya menyambung pelajaran keluar negeri  selepas selesai urusan penceraian. Segalanya telah berlalu, namun bagi Syirah terlalu sukar untuk melupai cinta pertamanya, Musrizal! Dia akui, jika bukan kerana Junaidah dia akan bersetuju untuk terus menjadi isteri pada Musrizal, namun janji seorang sahabat sukar untuk di mungkiri. Biarpun pengorbanan itu tidak mampu menyatukan Musrizal dan Junaidah namun dia puas kerana berjaya mengotakan segala janji itu. Tiada langsung rasa kesal dalam diri Syirah. Bagi Syirah apa yang berlaku dianggap sudah suratan. Jika masih ada jodoh bersama Musrizal, seribu tahun terpisah pun pasti bersatu jua.
TAMAT
Share this article :
+
Previous
This is the oldest page
5 Komentar untuk "CERPEN (Janji Sahabat)"

Love & friendship story

salam..miela bergenang air mata baca part pegang pipi dan di hentian bas. kamu ada bakat. rasa setaraf pnulis novel. best cite ni.

walaupun tak tahu akhirnya, tapi rasa2 kbrangkalian bsar jdh dia adalah musrizal kan...bagus la ending.kreatif :)

Thanks Miela.. dlm byk2 cerpen sy pun suka cerpen ni. Tp kebanyakkan cerpen sy ntah kemana pergi nya lepas pindah

aku man tau becerpen2 nie.. adush...

nice story... ending yg menimbulkan persoalan... i like it.. hehe

Terima Kasih Sudi Komen Di Sini
 
Template By. Kunci Dunia Designed by sensasi2020
Back To Top