KERANANYA.. BERNAMA SEORANG SAHABAT

“Aku dah balik! Cuti semester. Dua bulan!” Laungnya sekuat hati. Nurhani tersenyum. Dilempar pandangan jauh ke tengah tasik. Kepuasan terpancar di raut wajahnya.
Irzi Aizat menyaksikan gelagat Nurhani tanpa menerpa sebarang pertanyaan pada keanehan yang berselubung dalam jiwanya terhadap gadis yang menjadi kebanggaannya di kolej. “Aku bawa seorang kawan dari sana. Kenalkan Irzi Aizat, kawan baik aku di kolej. Dia pelajar tahun kedua rekaan grafik. Dia baik, Am.” Tambahnya lagi, tetap dalam nada kuat, melaung khabar dan cerita ke tengah tasik.Irzi Aizat semakin pelik. Hatinya mula berperang dengan pelbagai terpaan pertanyaan yang tak berjawapan itu. Pelbagai kemungkinan yang singgah di benak fikirannya, namun hanya satu yang menjadi keputusan andaiannya. Apa yang di anggapnya, gadis itu pasti mengalami masalah mental. Hanya orang gila sahaja yang akan terpekik tanpa mempedulikan orang di sekeliling dan bercerita pada satu nama yang tak berjasad. Namun tiada kesahihan pada andaiannya tersebut kerana selain peristiwa hari ini Nurhani tidak pernah bertindak seperti orang gila sekadar bercerita tentang seseorang yang bernama Izham. Pun begitu ceritanya tentang Izham mengundang berbagai teka- teki. Bagi menjawab semua teka- teki itulah Irzi Aizat bersetuju untuk menghabiskan cutinya bersama Hani di sini.
****
Keletihan semalam membuatkan tidurnya nyenyak hingga matahari menjenguk alam. Sebaik membuka mata dilihatnya jam sudah terpacak diangka sebelas pagi. Irzi Aizat bingkas bangun. Malu mula mengusai diri, sudahlah bermalam di rumah orang, tidur hingga matahari meninggi. Entah apa yang di anggap keluarga Nurhani nanti. Memikirkan semua itu, pantas di bawa diri menjenguk kamar mandi.
Selesai bersiap, Irzi Aizat turun ke tingkat bawah dimana terdapat sebuah kedai bunga milik ibu Nurhani. Di jangka Nurhani berada di kedai membantu ibunya kerana diatas rumah tadi sudah tiada sesiapa sebaik dia mencelik mata tapi pencariannya hampa. Yang ada cuma Makcik Sofia dan pambantunya seorang wanita warga Indonesia.
“Cari Hani ke? Awal tadi dia dah ke rumah mamanya. Dia suruh Zi pergi kalau Zi dah bangun. Ni alamatnya kalau Zi nak pergi.” Ujar Sofia yang dapat meneka apa yang di cari Irzi Aizat sebentar tadi.
Disambut cebisan kertas yang tertulis alamat yang di tuju Nurhani dalam seribu satu persoalan yang tidak berkurang sebaliknya semakin ditambah. “Mama? Berapa orang mak yang Hani ada, makcik?”
Sofia ketawa kecil sebaik mendengar kata-kata yang sedikitpun tak dialas dengan bunga bahasanya. Sofia tidak berkecil hati, sudah awal lagi Nurhani sudah memaklumi akan sikap teman yang akan di bawa pulang itu. “Itu mak Izham, mama angkatnya. Hani kalau balik ke sini samalah seperti balik ke rumah sana. Mama dan abahnya akan marah kalau dia tak kesana jika pulang bercuti.” Terang Sofia cuba menguraikan kekeliruan pada Irzi Aizat.
Mendengar nama Izham yang berkait dengan kediaman yang dilawati Hani, dia mula rasa tidak sabar untuk melangkah ke sana. Segera di daki anak tangga ke atas bagi mendapatkan kunci kereta yang di tinggalkan dalam bilik lalu bergegas turun mengambil Satria merah miliknya yang di letakkan benar benar di hadapan kedai bunga Makcik Sofia.
*****
Rumah batu dua tingkat tersergam di depan matanya. Pintu pagarnya tak di tutup memudahkan Irzi Aizat memandu terus mencerobohi halaman rumah batu itu setelah di pastikan dia berada dirumah yang beralamat seperti tercatat dalam cebisan kertas yang di beri oleh makcik Sofia tadi. Diketuk pintu rumah berserta salam. Tanpa perlu menunggu lama salamnya bersahut dan pintunya di buka.
“ La.. baru di sebut dah sampai. Masuklah Zi.” Pelawa Nurhani seperti mempelawa tetamu di rumah sendiri. Irzi Aizat dapat mengagak bagaimana akrabnya Nurhani dengan keluarga ini.
“Inilah Irzi Aizat yang di ceritakan tu ye? Saling tak tumpah macam Izham.” Tutur Zaidah lembut bersama tenungan yang dalam kedalam raut wajah Irzi Aizat sehingga rimas di buatnya. Menyedari Irzi Aizat kurang selesa dengan tatapan sebegitu, Zaidah mematikan tumpuannya bagi mengembalikan keselesaan tetamunya itu.
Mendengar kaitan dia dan nama yang masih belum berjasad baginya, jiwanya semakin memberontak ingin cepat tahu dan kenal siapa Izham dan apa hubungan dia dan Nurhani yang sering menjadi pertanyaan tak berjawapan selama ini. Pasti wanita lewat 30an ini dapat memberi jawapan, jika di harap Nurhani sudah berbuih dia bertanya tapi tak juga di jelaskan segalanya. 
“Mana Izham?” soalanya cuba memancing mangsa agar terbongkar apa yang di rahsiakan Nurhani selama ini. Soalannya memberi tindak balas pada air muka Zaidah. Ada kesayuan yang cuba di sembunyikan tapi tidak berjaya di lindungi sebaiknya. Nurhani pula tetap berlagak seperti biasa seolah pertanyaan itu tidak akan memecahkan sesuatu yang dijaga selama ini.
“Am.. kalau cuti begini jangan harap nak bangun awal. Takpe biar Hani yang kejutkan dia.” Balasnya terus melangkah jauh kedalam rumah menuju ke kamar Izham di tingkat atas. Kini hanya Irzi Aizat dan Zaidah di rumah tamu. Keadaan sepi seketika.
“ Pak cik ke mana, tak nampak pun?” Irzi Aizat cuba memecah kesunyian itu agar ada komunikasi di antara dia dan mak cik Zaidah.
“Pak cik kamu, waktu macam ni di ofis la. Dia tak tahu Hani balik, kalau tidak pasti dia balik rumah.”
“Rapat betul Hani dengan keluarga makcik.”
“Hanya Hani saja harapan kami. Dialah satu- satunya tempat kami menumpang kasih seorang anak.”
“Kan makcik ada Izham, kenapa pulak Hani menjadi satu-satunya harapan dan tempat menumpang kasih?”
Sekali lagi Zaidah di terpa dengan soalan yang terlalu menghiris perasaan. Dengan pertanyaan itu, cukuplah memberitahu Zaidah bahawa teman baik Nurhani masih tidak tahu apa yang berlaku sebelum ini. Pastinya dia masih belum tahu keadaan Nurhani.
“Nampaknya Zi masih tak tahu apa-apa tentang kami di sini. Pernah Hani bercerita tentang Izham pada Zi?”
“Selalu tapi tak jelas. Maksud saya hanya cerita tentang Izham tapi saya masih tak tahu apa hubungan dia dan Izham dan di mana Izham.”
“Dia pilih Zi sebagai pendampingnya adalah kerana Zi mirip Izham. Hani bukan mudah untuk dirapati, tapi jika Zi yang dipilih memang tak jadi benda pelik pada mak cik.”
“Boleh tak mak cik tak payah panjangkan cerita, terus bagitau saya apa yang berlaku sebenarnya sebab dah banyak persoalan saya tentang Hani dan Izham takde jawapannya. Saya ke sini nak cari jawapan itu bukan nak tambah soalan. Maaf kalau kata-kata saya menyinggung perasaan mak cik tapi tolonglah jelaskan segalanya sekarang.” Pintasanya menampakkan lagi sikap ketidaksabaran dan terlalu ambil mudah tanpa memikirkan perasaan orang lain.
“Wajah kamu mirip anak makcik tapi sikap kamu jauh berbeza dari dia. Arwah seorang yang penyabar, penyayang dan terlalu menjaga kata-katanya agar apa yang di cakap tidak menyakiti sesiapa.” Sindir Zaidah pada kebiadapan Irzi Aizat. 
Sedikipun tak diendahkan Irzi Aizat terhadap sindiran tajam itu. Dia cuma tertarik dengan pengiktirafan arwah pada Izham. Syukurlah insan yang menjadi api cemburunya selama ini tidak lagi menghuni bumi. Namun hatinya mula gusar dengan tingkah Nurhani sebentar tadi dan petang semalam..
“Hani tak dapat terima kenyataan atas kematian Izham biarpun dia sendiri menyaksikan bagaimana Izham menghembus nafas terakhir. Izham meninggal akibat kemalangan jalan raya tak jauh dari kawasan tasik tu. Tentu Hani dah bawa Zi ke sana, kan? Hani dan Izham amat rapat sejak kecil. Mereka banyak mencipta kenangan di tepi tasik itu. Kasih antara mereka cukup erat, lebih-lebih lagi Am. Ke mana, dan apa saja yang dilakukannya, dia tak pernah terlupa akan Hani sehingga apa saja barang kepunyaannya dianggap kepunyaan Hani juga. Kematian Izham banyak merubah Hani. Perasaan dan fikirannya agak terganggu sehingga tak benarkan sesiapapun menganggap Izham sudah tiada. Sebab tu mak cik, pak cik dan mak cik Sofia kamu ikut saja apa rentaknya. Tengoklah tu, dia masih tak turun dari atas, kononnya kejutkan Izham. Kami tak mahu mendesak kerana cara itu akan lebih memburukkan keadaan. Mak cik yakin satu hari nanti dia akan terima juga hakikat ini,” cerita Zaidah, lebar. 
Irzi Aizat telan air liur setelah mendengar cerita sebenar. Di sebalik kesempurnaan lahiriah yang dimiliki Nurhani rupanya masih ada kekurangan yang dia tidak dapat menerima. Tak mungkin dia akan mendamping gadis kurang siuman biar secantik bidadari pun. Sebelum satu kolej tahu akan semua ini, difikirkan ada baiknya dia terdahulu menjauhkan diri dari gadis yang dianggapnya gila. Irzi Aizat tidak mahu dirinya di tertawakan teman-teman kerana berpasangan dengan gadis cantik yang kurang siuman. Dia rapat dengan Nurhani selama ini hanya ingin dianggap hebat dan dipuji mempunyai pasangan kegilaan ramai. Dia merasakan nasib agak baik kerana belum pernah meluahkan perasaan cinta pada Nurhani biarpun dia berhajat untuk melakukan selepas cuti semester nanti.
“Terima kasih makcik sebab bagitau saya semua ni. Saya minta diri dulu. Tolong cakap pada Hani saya nak balik K.L.” Ujarnya seraya diangkat kaki meninggalkan rumah Zaidah.
*****
Nurhani bergegas pulang bila Zakiah memaklumkan padanya bahawa Irzi Aizat ingin kembali ke Kuala Lumpur. Dia yakin dia akan sampai sebelum Irzi Aizat bertolak pulang kerana dia sudah arif dengan jalan pintas ker umahnya dengan hanya beberapa minit berjalan kaki, apatah lagi kalau berlari.
Irzi Aizat pantas berkemas namun belum sempat dia berlalu keluar dari bilik rumah Nurhani, Nurhani sudah pun tercegat di muka pintu. Irzi Aiza mula cemas kerana risau berlaku sesuatu yang tak di ingini. Dia juga tahu tindakan orang yang mengalami masalah mental seperti Nurhani tindakannya di luar jangkaan.
“Nak balik? Kenapa? Sebelum aku lepaskan kau balik, aku nak bawakan kau ke satu tempat yang belum kau kunjungi semenjak sampai di sini.”
*****
 Kereta dipandu mengikut arah yang ditunjuk Nurhani. Perjalanan mereka berhenti bila tiba di hadapan masjid. Nurhani menutupi kepalanya dengan selendang yang dibawa sebelum menuruni kereta. Irzi Aizat membontoti Nurhani tanpa berani bertanya walau hatinya bimbang.
Dibawanya Irzi Aizat ke tanah perkuburan yang terdapat di belakang bangunan masajid. Langkahnya bernoktah di salah satu kubur di situ. Dia duduk bersimpuh, menadah tangan membaca ayat- ayat suci dihadapan pusara itu. Selesai berdoa Nurhani bangun bertentang mata dengan Irzi Aizat.
“Inilah tempat bersemadinya sahabat aku yang menghembus nafas terakhirnya di atas riba aku, Zi. Aku tak pernah lupa dia dah pergi. Mungkin kau anggap aku gila bila kau lihat dan dengar sendiri cerita tentang aku dan masa silam ku. Aku ada sebab tersendiri atas tindakkan aku. Aku tak kisah orang nak anggap aku gila. Sehingga sekarang kasih dan rindu aku terhadapnya tak pernah terkurang apatah lagi hilang. Aku buat semua yang dianggap gila itu untuk memberi kekuatan pada diri aku untuk meneruskan hidup.mungkin aneh caranya tapi dengan cara itu aku tak rasa sangat kehilangannya dan sedikit sebanyak terubat rindu aku. Selepas kematian abah kandung aku, dialah lelaki yang memberi kasih seperti abah dalam nama sahabat. Tapi apakan daya lelaki kesayangan aku ditakdirkan untuk aku cuma sementara. Kau tahu kenapa aku mendampingi kau? Sejak awal aku tahu cuma wajah kau mirip Izham tapi bukan perangai kau. Aku tahu kau rapat dengan aku untuk membuktikan diri kau hebat pada kawan-kawan di mana dapat seorang gadis cantik dan sukar didekati. Bukan aku riak dengan keistimewaan anugerah Tuhan pada aku seperti kau tapi dengan keistimewaan itu sahaja aku dapat dekat dengan kau. Sejak kali pertama mengenali kau aku telah bertekad ingin mengubah kau menjadi Izham secara perlahan-lahan agar aku dapat pengantinya. Tapi aku terlupa Irzi Aizat yang mahu ku bentuk menjadi Izham adalah orang yang mengasihi kecantikkan ku bukan mengasihi aku setulus hatinya. Sekarang aku sedar kau tak mungkin dapat d ubah menjadi Izham kesayanganku. Aku tak kisah kalau kau nak canang satu kolej bahawa aku gila tapi selepas kau melangkah balik K.L nanti maka jangan menoleh lagi pada aku. Aku tak mahu ada apa-apa kaitan dengan kau lagi. Kau takkan mampu memberi kasih seperti Izham apatah lagi abah pada aku sebab kau tak pernah sudi memberinya. Sekarang kau boleh pergi.”
Nurhani berlalu meninggalkan Irzi Aizat termanggu sendirian di depan pusara Izham. Setiap derapan kakinya diiringi airmata yang dia sendiri tidak pasti untuk apa tangisan itu berarus. Kerana sikap Irzi Aizat atau kerinduan yang kembali menyengat perit dihatinya terhadap Izham?
Irzi Aizat terus terpaku di situ. Kakinya terasa di ikat dengan kenyataan Nurhani. Sekali lagi dia tersilap mentafsir. Dan kesilapan kali ini memutuskan segalanya. Persahabatan dan juga perasaan cinta yang kecundang sebelum bermula. Kini baru dirasakan adalah satu kerugian besar dalam hidupnya melepaskan gadis unik dan istimewa seperti Nurhani. Inilah kali pertama dia berasa begitu terhadap seorang gadis.

**Ini adalah hasil tulisan saya tak lama dulu. Dah bertahun saya tidak mengarang sebarang cerpen. Sebenarnya cerpen ini adalah kesinambungan dari cerpen yang saya pernah tulis (Tasik seribu memori) tapi saya dah hilangkan. Dulu sebelum popular pendrive/thumbdrive saya save dalam disket. Disket tu dah rosak. kekekeke.. Original dari tulisan tangan pun rasanya dah takde. Semuanya saya karang semasa di kampung dulu. Apapun saya mengharap komen yang membina untuk saya kembali menghasilkan cerpen. Terima kasih pada yang sudi membaca.
Share this article :
+
Previous
Next Post »
2 Komentar untuk "KERANANYA.. BERNAMA SEORANG SAHABAT"

wah ... berbakat jgk akk yerk .. menarik ...

bakat yg tenggelam.. tu semua koleksi arkib jer.. yg terbaru blom ada lagi

Terima Kasih Sudi Komen Di Sini
 
Template By. Kunci Dunia Designed by sensasi2020
Back To Top